Bertemu Cinta Dalam CINTA
Bertemu Cinta Dalam CINTA:
Arafah. Padang yang menyaksikan sejarah cinta sulung Adam dan Hawa bertemu.
Mewarisi ujian cinta di padang pasir, Ibrahim meninggalkan teman setianya Hajar dan buah hatinya, Ismail semata kerana Yang Esa. Sekilas wajah Yusuf, bertaut tulus cintanya Zulaikha beralih kepada Cinta Yang Maha Sempurna.
Tatkala Kerajaan Cinta antara Sulaiman dan Balqis bersemi dek Cinta Yang Memiliki Kerajaan langit dan bumi turut bersatu. Terpateri Cinta Agung Muhammad cintanya untuk isteri dan ummat yang dikasihi, meresap ke dalam hati-hati sehingga tiba belabuh ke hati. Demikianlah sekeping hati setiap insan sehingga ke hari ini tidak pernah kering menerima warisan cinta itu.
Subhanallah... Madah cinta itu sungguh seni dan puitis.. Kehadiran cinta yang semenjaknya di syurga mana mungkin boleh ditolak oleh hati sedangkan ia adalah kurniaan Ilahi, anugerahnya kepada hambaNya untuk menyempurnakan fitrah kejadian insani.
Fitrah ingin dicintai dan mencintai. Andai hati ini tidak meminta untuk melintasinya, atau sekalipun membungkam seribu doa, malah mengalihkan pandangan, dan mengunci bicara, ia tetap ada, wujudnya sedia di batas hati setiap jiwa. Kadangkala tanpa sedar, tanpa paksaan ia hadir.
Adakah ini cinta? Tunggu sekejap! Wahai hati yang hidup dengan suluhan iman...Berhati-hati, jangan tertipu oleh penipu profesional iaitu nafsu dan bisikan syaitan! Keluarkan senjatamu.. DOA. Ya itulah senjata mukmin. Maka berdoalah!
"Ya Allah, aku berlindung kepada kalimatMu yang sempurna, dari apapun kejahatan yang Engkau ciptakan." -Amin Ya Rabb-
Seutama-utama cinta itu adalah Allah. Dia Yang menciptakan Cinta, maka cintanya adalah yang pertama dan utama. Dialah yang selayaknya dicintai. Allah pasti membalas cinta itu dengan sifatnya Yang Maha Mengasihi.
Hingga hujung nyawa,
Aku tetap ingin menjadi pencintaMU,
Inginku isi rongga-rongga rindu ini,
Dengan madu cinta Pencipta Cinta,
Setiap hela nafas mengalir suci namaMU,
Tersemat utuh di hati tanpa noda,
Sucinya bersih menghiasi qalbu,
Penyuluh hidup, pengukir bahagia,
Tanpanya tiadalah segalanya,
Hingga hujung nyawa,
Ku ingin tetap bersama cintaMU.
Cinta itu hakikatnya suci, kadangkala menguji hati seperti Saidina Ali dan Az-Zahra. Adanya sabar dan tabah menyulami iman menterjemahkan kesetiaan di batas waktu yang menjadi rahsia Allah. Dalam memilih cinta, ajaran nabi jadi garis panduannya. Perlu bijaksana meletak prioriti cinta antara terutama dan utama.
Cita-cita jadi mahar cinta. Harapan disampaikan melalui doa, memohon pilihanNya dalam sejadah istikharah, musyawarah menetapkan kematangan dari yang berpengalaman, restu penjaga diri tulus dipinta. Jangan dinoda oleh serakah jiwa yang lemah. Jujur pada pendirian yang tidah tergugah.
Bijak mengurus, mengawal dan menterjemah dalam bimbingan PEMILIK HATI juga perlu di ambil peduli. Meng'upgrade' diri menjadi soleh atau solehah bukan kerana si dia, tetapi berusaha menjadi soleh dan solehah semata kerana DIA. Ikhlas dan tawakal pada pilihanNYA bukti pergantungan diri mensyukuri ketetapanNya. Bila dan siapa jodoh itu, pasti bertemu cinta di Arafah RahsiaNya, kerana empunya diri yakin pada janjiNya.
"Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula).... "
(Surah an-Nur ayat 26)
(Surah an-Nur ayat 26)
Taqwallah dan tulus iktikad demi REDHANYA pasti melestari ikatan ke Taj mahal Abadi.
Duhai manusia yang menyakini,
Teruslah mengemudi pelayaran dalam mengabdi dan membangun diri serta agamamu,
Usah dirimu sibuk menoleh dunia mencari raja atau permaisuri hatimu,
Masih banyak amanah dan tanggungjawab yang dikau galas,
Dunia ini hanyalah sementara,
Di sisi Tuhanmu ada yang lebih baik.
Duhai Manusia Yang Paling Bahagia,
Bukankah pergantunganmu sudah dikau letakkan kepada yang tidak akan buat dirimu kecewa,
Jika ya, usah bazirkan masamu tanpa berkhidmat kepada TuhanMu,
Bertemanlah dengan kesabaran kerana Tuhan Yang Satu,
Dia mengawasi dan menunjukimu setiap waktu,
Kerana janjiNya, bahawa Dia bersama orang yang sabar.
Duhai Manusia Yang Memiliki Ketenangan,
Hadapilah kenyataan dengan penuh keredhaan,
Dia Yang Maha Mengetahui ketetapan terbaik buatmu,
Dikau kan bahagia dengan mengingatiNya,
Kerana Dia memberikan cintaNya padamu
Bertemu cinta manusia
Dalam CINTA Agung di sisiNya.
InsyaAllah...
Bertemu cinta dalam CINTA akan kekal bahagia!
Bertemu Cinta Dalam CINTA
Reviewed by sukses
on
08.10
Rating:
Tidak ada komentar: