Pesan Tuhanku : Engkau dan Aku Selamanya Hamba
Pesan Tuhanku : Engkau dan Aku Selamanya Hamba:
Matanya yang tak pernah tertatap. Santunnya yang tak pernah terjerat. Hatinya yang belum pernah termiliki. Nawaitunya yang ingin seorang zauj hadir menemani. Serendah-rendah nama, semulia-mulia cinta. Di bawah langit cinta Allah azzawajalla..
Malam itu, pada kertas kanvas yang putih, namamu yang menimbul. Persis dakwat yang membasah. Menyerap selemah-lemah kanvas. Tertulisnya nama, tercatatnya hasrat yang setia. Maafkanlah andai kanvas itu tak mahu menguning. Dimamah hari dan hari. Likat dakwat ibarat keindahan yang tiada tara. Lafaz cinta yang belum pernah terungkap.
Menyepikah nama seorang pemuda, pada jiwa sekuntum bunga. Berdurinya di pagar taman-taman larangan. Melarikan renung mata, menjauh gurau senda. Hati dan anggota memekar. Atas sebuah nama cinta. Menggulir riak rasa yang mahu. Apatah lagi umur purata, kini sudah ramai mencipta baiti jannati. Bersabarnya atas ketentuan. Memecah resah-resah yang haram.
Duhai Tuhan yang mendengar setiap zarah bicara..
Dari jiwa dalam dan tulis lemah seorang hamba..
Ingin, sungguh ia semahu yang boleh..
Memegang hati untuk Engkau tetapkan..
Tika menghapus ruang dan waktu..
Tika beriman aqal dan nafsu..
Naluriku yang senantiasa berkata..
Mahabbah rindu biarkan rahsia..
Moga mengalir tanpa dosa..
Wasilah jiwa yang mendamba redha..
Lewat sebuah perjalanan, memenuhlah jiwa dalam agama. Hadirnya bersama kawanan malaikat-malaikat cinta. Bersaksilah atas lamunan yang menghilang. Sedikit demi sedikit. Gamang sedalam-dalam jiwa. Tenggelamnya mahu timbul. Bukan ini masanya. Belum tiba waktunya. Berjuang dan mempersiap diri. Bukan harus mereka mengerti. Tapi wajib untuk Allah merestui. Biar berjalan pada langkah yang lurus. Biar luhur setelah akad kian mulus. Bertambah cahaya dalam hidupnya. Bergema murah rezekinya.
Kerna cinta sebuah wasilah, takkan pernah terhenti selepas lafaz.
Duhai Tuhanku yang mendamaikan cinta hamba-hamba-Mu..
Alirkanlah bisik doaku..
Setenang-tenang rasa..
Semudah-mudah jalannya..
Biar terhapus namaku sebelum masanya..
Andai Luh Mahfudz kuyakin bersuara..
Biarkan dakwat membasah..
Pada kanvas yang memutih resah..
Pada suci rahsia sebuah mahabbah..
Demi istikharah cintaku..
Tiada siapa mampu merindu..
Selayak Adam dan Hawaku..
Selagi Mahfudz-Nya belum berlagu..
Dan sejauh itulah hati bernada sendu..
Selalu..
Berusahalah jiwa yang memendam cinta. Usah makin mendiam. Usah makin melemah. Bukanlah cinta yang membahagiakan. Andai jiwa yang mengalir merdu. Namun anggota membungkam lesu. Demi keredhaan Tuhan Yang Maha Satu, binalah rasa cinta bersama tingginya agama dan cemerlangnya kerjaya. Sungguh, hamba yang disayangi Tuhan adalah mereka yang gagah. Moga sentuh Tuhanmu sentiasa melikat. Pada likat jujur cinta hamba pada Tuhannya.
Pesan Tuhanku : Engkau dan Aku Selamanya Hamba
Reviewed by sukses
on
08.10
Rating:
Tidak ada komentar: